Assalamualaikum dan Salam Senyum Buat Semua Rakan-Rakan Fotografi…
Pada entry yang lepas saya sudah berjanji untuk berkongsi tentang histogram dan meter cahaya yang merupakan satu perkara yang sangat penting dalam usaha untuk mendapatkan kualiti gambar yang baik di mana tiadanya masalah underexposed dan overexposed pada setiap gambar yang dirakam. Walau bagaimanapun, meter cahaya ini hanya akan berfungsi sebagai penentu exposure yang baik bagi mode P,A dan S sahaja.
Sekarang kita terjun ke lembah Histogram yang merupakan satu perkara yang sangat susah untuk difahami ketika belajar matematik dahulu. Namun, histogram dalam dunia fotografi adalah sangat mudah untuk difahami. Histogram dalam dunia fotografi ini juga merujuk kepada graf yang memaparkan tentang bagaimana cahaya itu berselerak di dalam sesuatu imej yang dirakam. Contohnya adalah seperti gambar di bawah;
Pada bahagian sebelah kiri graf, ia menunjukkan bahagian shadow yang merujuk kepada gelap atau terlalu kurang cahaya dan bahagian sebelah kanan graf menunjukkan highlight yang merujuk kepada terlalu banyak cahaya. Keadaan ini seperti yang telah dijelaskan pada entry yang lepas iaitu Underexposed(kurang cahaya) dan overexposed(terlebih cahaya). Histogram ini adalah satu rujukan yang amat penting untuk melihat sama ada gambar yang dirakam itu baik atau tidak kerana kita tidak boleh terlalu percaya kepada LCD kamera yang memaparkan sesuatu gambar yang dirakam. Selain menggunakan Histogram, meter cahaya dapat membantu anda untuk mendapatkan exposure yang baik.
Seterusnya adalah berkaitan dengan meter cahaya yang merupakan penentu kepada exposure yang baik bagi mode P,A dan S pada Kamera. Apabila kita menyebut atau terdengar tentang meter, secara automatik kita akan terfikir tentang pengukur. Begiru juga dengan meter cahaya yang menjadi perkara yang amat penting bagi mengukur cahaya bagi mendapatkan exposure yang baik ketika merakam gambar. Sebelum itu, kita haruslah mengetahui di mana kedudukan meter cahaya pada kamera dan bagaimana bentuknya. Meter cahaya mungkin berbeza bentuknya mengikut Model Kamera. Contoh meter cahaya adalah seperti berikut;
(Meter Cahaya adalah Nilai yang terdapat dalam petak berwarna merah)
Dalam memahami meter cahaya ini, kita perlu ingat bahawa meter cahaya ini hanya akan menjadi penentu exposure yang baik bagi mode P, A dan S sahaja. Garisan putih tebal yang berada pada nilai 0 atau ditengah ukuran tersebut adalah sebagai penunjuk aras cahaya. Sekiranya garisan putih tebal itu berada pada titik +1 maka gambar yang dirakam akan cerah 1 kali ganda dan jika ia berada pada titik -1 maka gambar yang dirakam 1 kali ganda gelap. Dalam hal ini, ketika menggunakan ketiga-tiga mode yang telah dinyatakan di atas, garisan putih tebal itu akan menentukan sama ada exposure baik atau tidak. Sekiranya garisan putih tebal itu berada pada nilai 0, maka exposure cahaya adalah betul dan istilah yang digunakan untuk exposure yang baik(nilai 0) ini adalah STOP. Bagi mendapatkan exposure yang baik, anda haruslah cekap dan pandai untuk melaraskan Shutter Speed, Aperture dan ISO supaya garisan putih tebal tersebut akan berada pada titik 0. Biasanya, bagi melihat kedudukan garisan meter cahaya ini, saya akan menekan butang shutter separuh dan garisan meter cahaya tersebut akan menunjukkan kedudukannya sama ada betul atau tidak.
No comments:
Post a Comment