SELAMAT DATANG SAHABAT SEMUA KE DALAM DUNIA AKU YANG SERBA KEKURANGAN INI.....

Assalamualaikum...Salam Keindahan Estetika Dunia...
Setelah sekian lama berdampingan dengan kamera, aku berasa semakin dapat menikmati erti keindahan alam melalui rakaman estetika yang begitu indah. Bersyukur kepada ALLAH S.W.T kerana telah memberi aku peluang untuk mengecapi semua ini. Kewujudan laman ini adalah untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan yang ada dengan semua penggemar fotografi. Di samping itu, segala catatan dan coretan di laman ini juga adalah sebagai nota untuk diri sendiri yang bukanlah seorang yang profesional di dalam bidang ini. Sebarang tunjuk ajar dan pandangan adalah sangat perlu bagi meningkatkan kepakaran diri. Namun, sekiranya sahabat di luar sana ingin menanyakan sesuatu, bolehlah sahabat semua emailkan kepada saya(im_ran2205@yahoo.com) sebarang persoalan berkaitan fotografi dan sekiranya saya dapat menjawap, insya Allah saya akan menjawapnya dan sekiranya tidak. Saya memohon sejuta kemaafan kepada sahabat semua. Mari Berkongsi Meningkatkan Kepakaran Diri

Monday, 18 April 2011

Pet Photography

Wajah-wajah Yang Menenangkan Aku...





Walaupun ia dikenali sebagai kucing kurap tetapi wajah inilah yang membuatkan aku tenang bila bersamanya...Ia dibuang oleh manusia di tempat keramaian bagi menjamin pemakanan....Namun, adakah ia mampu menikmati rezeki Tuhan dengan sebaiknya???Dan apabila ia muncul di hadapan mata ini, maka ingatlah bahawa Tuhan yang pertemukan kita dengan dia....Sesungguhnya apa yang kita makan, mungkin juga itu miliknya...Sayangilah dia, Peliharalah dia, sesungguhnya wajahnya adalah lebih jernih dari kita....Dia memanggil kita di saat kelaparan dengan rasa hormat kerana mungkin dia juga tahu bahawa manusia itu adalah mulia...Namun, dia dihalau, dipukul dan dinafikan pemberian Tuhan untuknya oleh insan seperti kita....Jangan salahkan dia jika dia bertengkar ketika makan kerana begitu juga kita yang tiada pernah rasa cukup dengan apa yang ada dan menafikan haknya....

"INGATLAH SEGALA APA YANG KITA ADA,MUNGKIN ITU JUGA MILIKNYA"

Sunday, 17 April 2011

Histogram dan Meter Cahaya

Assalamualaikum dan Salam Senyum Buat Semua Rakan-Rakan Fotografi…
Pada entry yang lepas saya sudah berjanji untuk berkongsi tentang histogram dan meter cahaya yang merupakan satu perkara yang sangat penting dalam usaha untuk mendapatkan kualiti gambar yang baik di mana tiadanya masalah underexposed dan overexposed pada setiap gambar yang dirakam. Walau bagaimanapun, meter cahaya ini hanya akan berfungsi sebagai penentu exposure yang baik bagi mode P,A dan S sahaja.
          Sekarang kita terjun ke lembah Histogram yang merupakan satu perkara yang sangat susah untuk difahami ketika belajar matematik dahulu. Namun, histogram dalam dunia fotografi adalah sangat mudah untuk difahami. Histogram dalam dunia fotografi ini juga merujuk kepada graf yang memaparkan tentang bagaimana cahaya itu berselerak di dalam sesuatu imej yang dirakam. Contohnya adalah seperti gambar di bawah;


Pada bahagian sebelah kiri graf, ia menunjukkan bahagian shadow yang merujuk kepada gelap atau terlalu kurang cahaya dan bahagian sebelah kanan graf menunjukkan highlight yang merujuk kepada terlalu banyak cahaya. Keadaan ini seperti yang telah dijelaskan pada entry yang lepas iaitu Underexposed(kurang cahaya) dan overexposed(terlebih cahaya). Histogram ini adalah satu rujukan yang amat penting untuk melihat sama ada gambar yang dirakam itu baik atau tidak kerana kita tidak boleh terlalu percaya kepada LCD kamera yang memaparkan sesuatu gambar yang dirakam. Selain menggunakan Histogram, meter cahaya dapat membantu anda untuk mendapatkan exposure yang baik.
          Seterusnya adalah berkaitan dengan meter cahaya yang merupakan penentu kepada exposure yang baik bagi mode P,A dan S pada Kamera. Apabila kita menyebut atau terdengar tentang meter, secara automatik kita akan terfikir tentang pengukur. Begiru juga dengan meter cahaya yang menjadi perkara yang amat penting bagi mengukur cahaya bagi mendapatkan exposure yang baik ketika merakam gambar. Sebelum itu, kita haruslah mengetahui di mana kedudukan meter cahaya pada kamera dan bagaimana bentuknya. Meter cahaya mungkin berbeza bentuknya mengikut Model Kamera. Contoh meter cahaya adalah seperti berikut;
(Meter Cahaya adalah Nilai yang terdapat dalam petak berwarna merah)
Dalam memahami meter cahaya ini, kita perlu ingat bahawa meter cahaya ini hanya akan menjadi penentu exposure yang baik bagi mode P, A dan S sahaja. Garisan putih tebal yang berada pada nilai 0 atau ditengah ukuran tersebut adalah sebagai penunjuk aras cahaya. Sekiranya garisan putih tebal itu berada pada titik +1 maka gambar yang dirakam akan cerah 1 kali ganda dan jika ia berada pada titik -1 maka gambar yang dirakam 1 kali ganda gelap. Dalam hal ini, ketika menggunakan ketiga-tiga mode yang telah dinyatakan di atas, garisan putih tebal itu akan menentukan sama ada exposure baik atau tidak. Sekiranya garisan putih tebal itu berada pada nilai 0, maka exposure cahaya adalah betul dan istilah yang digunakan untuk exposure yang baik(nilai 0) ini adalah STOP. Bagi mendapatkan exposure yang baik, anda haruslah cekap dan pandai untuk melaraskan Shutter Speed, Aperture dan ISO supaya garisan putih tebal tersebut akan berada pada titik 0. Biasanya, bagi melihat kedudukan garisan meter cahaya ini, saya akan menekan butang shutter separuh dan garisan meter cahaya tersebut akan menunjukkan kedudukannya sama ada betul atau tidak.

Exposure, Underexposed dan Overexposed

Assalamualaikum dan Selamat Berkongsi....
Penerangan tentang Shutter Speed, Aperture dan ISO telah saya berikan pada awal perkongsian ilmu fotografi ini. Saya juga telah menerangkan kaitan antara ketiga-tiga perkara tersebut dalam mendapatkan exposure gambar yang baik. Sebelum saya jelaskan tentang exposure ini, adalah sangat penting untuk kita ketahui apakah yang dimaksudkan dengan exposure. Exposure adalah merujuk kepada kecerahan cahaya dan kecerahan ini merujuk kepada nilai cahaya yang masuk ke dalam sensor kamera yang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan ketiga-tiga elemen asas fotografi iaitu Shutter Speed, Aperture dan ISO. Sensor kamera adalah alat yang merakam maklumat dengan menggunakan cahaya. Melalui cahaya tersebut, ia akan menukarkan maklumat tersebut ke dalam bentuk piksel yang disusun sehingga membentuk sesuatu gambar yang bergantung kepada maklumat yang diperolehi daripada sensor kamera.
          Perkara yang paling utama adalah mendapatkan exposure yang baik, di mana exposure yang bagus itu adalah bergantung kepada cahaya yang diperolehi sama ada cukup atau tidak. Sekiranya sensor mendapat cahaya yang cukup semasa merakam gambar maka ia akan menghasilkan gambar yang baik. Sekiranya gambar yang dirakam kelihatan terlebih cahaya atau terlalu terang, ia dikenali sebagai overexposed. Manakala gambar yang kelihatan gelap atau kurang cahaya pula dikenali sebagai underexposed. Contoh gambar yang under dan over exposed adalah seperti di bawah...


Dalam usaha untuk mendapatkan exposure yang baik, pengetahuan dan kefahaman tentang meter cahaya dan histogram adalah sangat penting. Insya Allah, sekiranya panjang umur, selepas ini saya akan menjelaskan tentang meter cahaya dan histogram. Selamat mencuba dan berfotografi.

Thursday, 7 April 2011

Perkaitan Antara Shutter Speed, Aperture dan ISO Semasa Merakam Gambar

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…
Dua tiga hari yang lepas saya sudah jelaskan serba sedikit tentang Aperture, Shutter Speed dan ISO. Sekarang, saya akan jelaskan kepada anda dan juga peringatan untuk diri sendiri tentang kaitan antara ketiga-tiga elemen tersebut dalam merakam sesuatu gambar yang mungkin mendatangkan kepuasan kepada kita. Hal ini berdasarkan pembacaan dan juga pengalaman sendiri ketika outing bersama kawan2. Walau bagaimanapun, perkara yang perlu anda ingat adalah setiap gambar yang ingin dirakam itu adalah bergantung pada diri kita. Ok, sekarang kita sama-sama tengok, baca dan faham bagaimana fungsi ketiga-tiga elemen tersebut digabungkan bagi mendapatkan gambar yang kita ingini.
          Contoh yang saya gunakan disini adalah pergerakan objek yang ingin dirakam seperti Air Mengalir yang dikategorikan sebagai Action Photography dan dikenali sebagai Freeze atau Memberhentikan. Hal ini kerana Teknik ini sangat memerlukan Shutter Speed yang laju bagi memberhentikan objek tersebut. Contohnya adalah seperti gambar di bawah.


Namun, kelajuan Shutter Speed ini akan menyebabkan gambar yang dirakam akan menjadi gelap atau underexposed. Oleh itu, bagi mengelakkan gambar tersebut tidak gelap walaupun menggunakan Shutter Speed yang laju, anda haruslah menggunakan Aperture yang besar(nilai f kecil). Hal ini kerana dengan aperture yang besar, ia akan membuatkan cahaya yang memasuki sensor lebih banyak walaupun Shutter Speed laju. Walau bagaimanapun, masalah kegelapan gambar yang dirakam mungkin masih lagi terjadi jika hanya dengan membesarkan Aperture. Oleh itu, langkah kedua bagi mengelakkan kegelapan selain membesarkan Aperture adalah dengan meninggikan nilai ISO. Perkaitan antara ketiga-tiga elemen asas fotografi tersebut adalah bermula dengan Shutter Speed(laju) yang bertujuan untuk memberhentikan pergerakan air. Manakala yang kedua adalah Aperture yang besar (nilai f kecil) agar cahaya yang banyak dapat memasuki sensor kamera yang bertujuan untuk mengelakkan kegelapan pada gambar yang dirakam. Seterusnya adalah ISO yang tinggi, bagi meningkatkan sensitiviti atau kepekaan sensor terhadap cahaya dan akhirnya akan menghasilkan gambar yang mendapat exposure yang baik. Dalam hal ini, anda haruslah rajin dan berani mencuba bagi mendapatkan gambar yang anda inginkan. JUST BE A MAN…
          Berdasarkan contoh pada awal tadi iaitu air mengalir. Kaedah yang kedua selain freeze adalah ingin melihat air tersebut mengalir dengan perlahan dan ia juga kelihatan cantik dan kreatif.  Maka Shutter Speed yang perlu digunakan adalah perlahan dan ia akan menyebabkan air yang mengalir tersebut kelihatan kabur. Contohnya adalah seperti gambar di bawah.


Namun, apabila Shutter Speed perlahan ia akan menyebabkan gambar yang dirakam akan terlalu cerah atau overexposed. Oleh itu, Aperture yang kecil(nilai f besar) adalah sangat penting bagi mengelakkan masalah kelebihan cahaya tersebut kerana dengan aperture yang kecil, maka cahaya yang memasuki sensor akan sedikit. Namun, sekiranya aperture yang kecil pun masih menyebabkan gambar yang dirakam terlebih cahaya, maka anda haruslah menurunkan nilai ISO sehingga exposure yang baik anda capai untuk merakam gambar tersebut. Hal ini kerana apabila nilai ISO rendah maka sensor akan kurang sensitif atau peka terhadap cahaya.
Walau bagaimanapun, segalanya bergantung pada anda. Namun, kefahaman tentang kaitan ketiga-tiga elemen tersebut ketika merakam gambar adalah sangat penting bagi mendapatkan exposure yang baik bagi setiap gambar yang dirakam. Peringatan yang paling utama adalah “RAJINKAN DIRI UNTUK MENCUBA DAN JANGANLAH MALU BERTANYA”

Tuesday, 5 April 2011

Portrait...Nadya Kamaruddin...First Edition...

Macro???

SHUTTER SPEED, APERTURE DAN ISO???

Assalamualaikum dan Salam Dunia Fotografi….. Selepas beberapa blog, buku, laman web dan juga latihan teknikal aku lalui tentang dunia fotografi ni, aku rasa perlu juga untuk berkongsi serba sedikit tentang ilmu atau pengetahuan yang ada bukan sahaja untuk orang lain tetapi juga membantu diri sendiri agar lebih mahir dan ingat tentang ilmu tersebut. Tetapi mungkin korang semua rasa ingin tahu siapa aku sebenarnya…Aku ni sebenarnya budak Psikologi Sosial dan masih study di UMS tetapi memang minat gilerrr dengan fotografi ni…Oklah, banyak pulak aku berleter dan seakan-akan lari dari tajuk pulak…hehehe…
Dalam dunia fotografi SHUTTER SPEED, APERTURE DAN ISO adalah satu perkara sangat penting kerana ia boleh mempengaruhi gambar yang dirakam dan menentukan exposure yang baik semasa merakam gambar. Oleh itu, pengetahuan dan kefahaman tentangnya adalah menjadi kewajipan kepada sesiapa yang BERMAIN dengan kamera. Sebelum itu, anda perlulah tahu terlebih dahulu dimana letaknya Aperture, Shutter Speed dan ISO pada kamera anda(rujuk manual kamera anda).
          SHUTTER SPEED adalah alat yang mengawal kuantiti cahaya yang masuk ke dalam sensor kamera yang berbentuk seperti tingkap yang dikawal oleh kelajuan. Berdasarkan perkara ini “SEMAKIN LAJU SHUTTER SPEED MAKA SEMAKIN KURANGLAH CAHAYA MASUK KE DALAM SENSOR DAN JUGA AKAN MENGURANGKAN KEKABURAN”. 
(Nilai Shutter Speed adalah merujuk kepada petak yang berwarna merah)
Ini bukanlah bermakna anda hanya diwajibkan untuk menggunakan shutter speed yang tinggi semasa merakam gambar. Ia juga bergantung kepada jenis gambar yang ingin dirakam. Selain itu, shutter speed yang tinggi ini biasanya digunakan untuk merakam objek yang bergerak supaya dapat hentikan pergerakan objek tersebut apabila gambar dirakam. Namun, shutter speed yang perlahan juga turut digunakan bagi merakam gambar yang kelihatan kreatif pada pandangan anda seperti aliran air sungai yang dirakam dengan shutter speed yang perlahan akan menampakkan betapa cantiknya aliran air tersebut.
          APERTURE seakan-akan iris mata yang boleh membesar dan mengecil semasa mengamati sesuatu. Ia adalah satu perkara yang sangat penting dan berkait rapat dengan Shutter Speed yang jelaskan pada awal tadi. DIAMETER APERTURE boleh dilaraskan menjadi besar atau kecil mengikut kehendak anda berdasarkan gambar yang ingin dirakam. Dalam memahami tentang aperture ini, ia mungkin sukar bagi anda kerana ia sedikit memeningkan tetapi jangan mudah kecewa, di mana “SEMAKIN KECIL NILAI f YANG DILARASKAN MAKA SEMAKIN BESARLAH DIAMETER APERTURE TERSEBUT DAN BEGITULAH SEBALIKNYA”. Contohnya (Aperture Besar adalah f2 dan Aperture kecil adalah f16). 


Aperture dikatakan berkait rapat dengan shutter speed dapat dilihat apabila shutter speed menjadi laju setelah diameter aperture besar(nilai f kecil) yang membolehkan cahaya banyak memasuki sensor kamera. Namun, aperture yang besar juga akan menyebabkan gambar yang dirakam kurang kawasan fokus(SHALLOW DEPTH OF FIELD) yang bermaksud apa2 yang berada jauh dari titik fokus akan terkeluar dari fokus dan kelihatan blur yang tinggi.
          Seterusnya adalah ISO yang merujuk kepada sensitiviti atau kepekaan sensor terhadap cahaya dan bagi kamera filem pula ia dikenali sebagai ASA. ISO ini juga mempunyai kaitannya dengan aperture dan shutter speed setiap kali ingin merakam  sesuatu gambar. Kepekaan sensor terhadap cahaya ini diwakili dengan nombor dan bagi kamera saya ISO paling rendah adalah 100 dan yang tertinggi adalah 1600. Rumusan untuk ISO adalah “SEMAKIN TINGGI NILAI ISO MAKA SEMAKIN PEKA SENSOR TERHADAP CAHAYA”


Ketinggian nilai ISO akan mempengaruhi kelajuan shutter speed ketika merakam gambar. Biasanya nilai ISO yang tinggi akan digunakan ketika merakam gambar dalam keadaan kurang cahaya. ISO secara mudahnya menggandakan kesan cahaya terhadap sensor, di mana nilai ISO 200 adalah 2 kali ganda sensitiviti sensor terhadap cahaya dan gambar yang dirakam akan kelihatan lebih terang berbanding nilai ISO 100. Namun, sekiranya ISO yang tinggi juga boleh menyebabkan “noise” atau bintik-bintik putih kuning wujud pada gambar yang dirakam.
Oleh itu, anda haruslah berani dan rajin untuk mencubanya ketika ingin merakam sesuatu gambar bagi memahaminya dengan lebih baik. Walau bagaimanapun, ia juga bergantung pada gambar yang ingin anda rakam. Mungkin anda inginkan gambar yang gelap atau terlalu cerah dan ia seratus peratus bergantung pada anda dan  saya hanya menerangkan untuk kefahaman anda sahaja. Insya Allah, selepas ini saya akan menerangkan tentang kaitan antara ketiga-tiga perkara tersebut.

….JANGAN TAKUT UNTUK MENCUBA….